k peeps... ariosss..
Assignment yang baru habis dibuat...silalah baca
Mukadimah (Perihal Kerajaan Acheh)
Kerajaan Acheh telah mengambil alih sebagai pusat perkembangan kesusasteraan Melayu setelah kejatuhan kerajaan Melaka ditangan Portugis (Ferringgi) pada tahun 1511. Kerajaan Acheh kemudiannya berkembang dengan pesat dan juga menjadi pusat tumpuan alim ulama dari seluruh daerah Kepulauan Melayu. Pada tahun 1524 Acheh menakluki Pasai dan pada tahun 1613 Johore pula ditawan dan dimasukkan ke dalam kuasa Acheh. Beberapa orang alim ulama dan penulis dari Kerajaan Johore, termasuk Bendahara Tun Muhammad Bin Tun Ahmad yang dikenali sebagai Tun Seri Lanang dibawa ke istana Acheh. Ini menjadikan Acheh satu-satunya pusat perniagaan, politik dan perkembangan Islam di Nusantara, pada sekitar abad keenam belas dan ketujuh belas. Menurut Hikayat Acheh, perkembangan itu mencapai puncak kegemilangannya pada zaman-zaman pemerintahan raja Acheh yang teragung, Iskandar Muda Mahkota Alam (1607-1636 Masihi) dan kemudian menantunya, Iskandar Tsani (1636-1641 Masihi).
Sastera Sufi
Sastera Sufi dimasukkan dalam kategori prosa klasik bukan naratif kerana kadar naratifnya yang amat sedikit.Mustafa Mohd Isa memungut pendapat A. Hasjmy untuk mendefinisikan sastera Sufi. Menurutnya, sastera sufi merupakan karangan orang-orang yang menganut ajaran tasawuf. Ciri-ciri genre sastera ini termaksuklah berjiwa tinggi, mengandungi makna yang mendalam, patuh tanpa syarat kepada iradat Illahi, khayalan yang jauh melayang, melukiskan sesuatu dengan rumusan-rumusan yang pelik dan penyataan-penyataan yang bersifat ketaksaan.Sastera Sufi mempamerkan karya-karya yang bertemakan kepatuhan kepada Allah semata-mata dan persoalan-persoalannya menyokong tema ‘Cinta Akan Tuhan’ dan lupa akan keduniaan, kemurnian akhlak dan penyucian jiwa.
Sastera jenis ini adalah mengenai hasil-hasil karya yang bercorak falsafah dan mempersoalkan tentang kewujudan Tuhan dan hubungan antara manusia dengan Tuhannya. Karya jenis ini lebih menekankan kepada pemikiran bercorak falsafah dan dikenali juga sebagai genre sastera bercorak metafizika. Pengarang-pengarang dan penyair-penyair yang menghasilkan karya-karya yang bercorak sastera sufi terdiri daripada ahli-ahli agama atau alim ulama yang memiliki ilmu pengetahuan agama yang mendalam serta mengikuti aliran-aliran yang tertentu dan masing-masing mempertahankan pandangan aliran masing-masing.
Konsep Wahdatul wujud
Menurut Ibnu Khaldun, maksud tasawuf atau sufi bererti, “Jalan kebenaran dan tuntutan; makna asalnya bertekun dalam ibadat dan sentiasa menghadap Allah; menjauhkan dari daripada kesenangan dan perhiasan dunia; memencilkan diri daripada kemewahan, kelazatan, kekayaan dan kemegahan yang menjadi keinginan orang ramai; bersunyi diri dalam khalwat untuk beribadat dan amalan demikian memang terdapat di kalangan sahabat dan shalaf.“
Pada umunnya, aliran wahdatul wujud menekankan bahawa alam dan Allah adalah satu. Menurut Drs. Harun Jaafar dalam bukunya, ‘Sejarah Perkembangan Kesusasteraan Melayu‘, Mansur al-Hallaj yang berasal dari Parsi mengemukakan bahawa ajaran wahdatul wujud dengan mengatakan bahawa ketuhanan menjelma dalam diri insan, Nur Muhammad sebagai asal usul kejadian alam dan kesatuan alam dan beliaulah yang sering mengatakan “Ana al-Haq“ (akulah kebenaran). Pendapat beliau yang ekstrim mengenai konsep ketuhanan itu menyebabkan beliau dihukum (dipukul dengan cemeti, disalibkan, dipotong kedua-dua tangan dan kakinya, dipenggal kepalanya, dibiarkan di pintu gerbang kota Baghdad, kemudian dibakar dan abunya dibuang ke Sungai Dajlah).
Sungguhpun demikian, ajaran itu dikembangkan pula oleh Ibnu Arabi dalam Futuhat al-Makiyah dan Fushuh al-Hikam, beliau berpendapat bahawa wujud yang ada hanyalah satu. Wujud makhluk adalah daripada ‘ain‘ wujud Allah. Pada hakikatnya, tidak wujud jurang pemisah antara kedua-duanya. Pandangan ini dipegang oleh pengikut-pengikut Ibnu Arabi seperiti Ibnu Farid dan Ibnu Sab’in. Mereka berpendapat bahawa Allah Subhanah wa Ta’ala ialah wujud mutlak, iaitu wujud yang tidak terkait dengan sesuatu kaitan pun. Pada hakikatnya, alam ini ialah Allah kerana semunya wujud daripada wujud yang mutlak, yakni Allah.
Ajaran ini terus dikembangkan pula oleh Maulana Jalaluddin Rumi melalui puisi yang dikenali sebagai masnawi yang mengandungi kira-kira 20 700 bait, enam jilid dan bertemakan ajaran wahdatul wujud.Konsep wahdatul wujud menjalar juga ke Nusantara, terutama di Acheh. Ahli sufi yang membawanya ialah Hamzah Fansuri. Hamzah Fansuri amat terpengaruh dengan fahaman al-Hallaj, Ibnu Arabi dan Abdul Karim al-Jili. Semasa hayatnya, beliau banyak mengembara untuk mendalami ilmu Islam. Kecenderungannya ialah ilmu makrifat (mengenali Tuhan).
Hamzah Fansuri mempunyai ramai murid tetapi yang paling terkenal ialah Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani. Hikayat Acheh menceritakan bahawa Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani menjadi tokoh penting di Acheh ketika Iskandar Muda Mahkota Alam baru berusia 13 tahun dan pada masa itu, beliau dilantik menjadi Mufti atau Kadi Malik al-Adil. Beliau banyak menulis karya-karya prosa yang lebih dikenali sebagai kitab-kitab agama.
Konsep Wahdatul wujud Hamzah Fansuri ini juga didapati mempunyai persamaan dengan konsep Wahdatul Wujud dari Husin bin Mansur al-Hallaj dan Abu Bakar Muhammad bin Ali Muhyi al-Din al-Hatimi al-Andalusi yang lebih dikenali dengan Ibn Arabi.Mereka merupakan tokoh yang ekstrim dalam pandangan tasawufnya. Fahaman Wahdatul wujud ini telah tersebar luas di Timur Tengah terutama di Iraq dan Parsi. Namun setelah itu ianya disebarkan pula ke Nusantara oleh Hamzah Fansuri dan pengikutnya Syamsuddin al-Sumaterani.
Fahaman Wahdatul wujud ini dapat dikembangkan dengan lebih berkesan kepada masyarakat Acheh dan sekitarnya. Namun ajaran ini mendapat tentangan yang hebat oleh kerana tasawuf ini dianggap sebagai ajaran sesat atau menyimpang dari ajaran syariat. Konsep Wahdatul wujud yang didapati mempunyai persamaan dengan Wahdatul Wujud dari Mansur bin al-Hallaj itu antara lain mengajarkan ajaran yang seolah-olah Tuhan itu sama dengan makhluk-Nya (ittihad) atau Tuhan dapat menitis dan menjelma kepada semua benda daripada makhluk-Nya (hulul). Lantas ramai sarjana barat yang mengertikan Wahdatul Wujud dengan istilah ‘panteisme’ iaitu fahaman yang menganggap bahawa Tuhan adalah semua benda atau sebaliknya semua benda atau sesuatu itu adalah Tuhan. Dalam erti kata lain, makhluk menurut pandangan ini juga Tuhan atau sama dengan Tuhan.
Walaubagaimanapun, akhir-akhir ini ramai sarjana tidak menyetujui konsep Wahdatul Wujud sebagai ‘panteisme’ kerana fahaman keesaan yang dianuti oleh orang-orang sufi yang ekstrim itu mempunyai erti yang lebih baik iaitu aspek rohaniah yang tinggi (as-sirr fi ‘s-sirr). Sememangnya orang-orang yang menjalani tasawuf yang sempurna akan dapat merasakan hakikat rantai-rantai rohaniah dengan Tuhannya. Orang biasa tidak akan terfikirkan hal ini kerana kebenarannya adalah kebenaran rasa atau zauq dan kasyaf yang merupakan hasil pencapaian dari amalan tasawuf seseorang itu.
Namun Hamzah Fansuri haruslah dianggap sebagai seorang tasawuf yang telah berhasil menjalani tasawufnya berdasarkan pengalaman rohaniahnya sendiri. Lalu pengalaman-pangalamannya itu dirumuskan kembali di dalam karya-karyanya agar dapat dipelajari serta diamali oleh masyarakat. Seperti contoh Syair Dagang yang menceritakan tentang pengalaman beliau mencari Tuhannya. Pengembaraan itu bermula dari Barus negeri asalnya, sampai ke Mekah tetapi akhirnya Tuhan yang dicarinya itu didapati di dalam rumahnya sendiri. Hamzah Fansuri seringkali menggunakan kiasan dan ibarat apabila membicarakan hubungan manusia dengan Tuhannya dan menganggap hubungan manusia dengan Tuhan sebagai yang asyik dengan maksyuknya. Namun kiasan dan ibarat yang digunakannya itu adakalanya dapat mengelirukan orang ramai. Seperti Hamzah Fansuri, Mansur al-Hallaj juga menganggap Tuhan sebagai kekasihnya seperti katanya: “Saya adalah Dia yang saya cinta, dan Dia yang saya cinta itu adalah saya. Kami dua jiwa yang berada di dalam satu badan, jika engkau melihat kami engkau melihat Dia. Dan jika engkau melihat Dia, engkau melihat kami berdua.” Pada pandangan al-Hallaj, manusia itu adalah merupakan manifestasi daripada Tuhan sebagaimana manusia pertama yang juga merupakan gambaran dari Tuhan.
Menurut Hamzah Fansuri hakikat Zat Allah atau Kunhi Zat disebut la ta’ayyun iaitu keadaan hakikat yang tidak mempunyai tanda tanpa nama dan sifat. Oleh itu dalam keadaan yang masih belum ada ketentuan dan menurut Hamzah makna la ta’ayyun itu tidak nyata sebab “budi dan bicara ilmu dan makrifat kita tiada lulus kepada-Nya. Jangan ilmu dan makrifat kita, anbia dan aulia pun hairan.” Maka jelas di sini menunjukkan bahawa konsep Wahdatul wujud Hamzah Fansuri bererti menganggap wujud alam sama dengan wujud Tuhan ataupun esa wujudnya. Beliau mengibaratkan zat yang maha suci itu sama seperti air laut yang tidak mempunyai tanda dan sifat-sifat. Zat yang maha suci menentukan diri melalui tanazzulat yang terdiri daripada lima martabat iaitu zat membentuk sifat-sifat, yang terdiri dari ilmu, wujud, syuhud dan nur. Dengan sifat ilmu lalu zat yang mutlak itu menjadi alim yang disebut juga sebagai ‘ayan thabitah (benda-benda tetap), suruilmi, haqiqatu’l nasyia dan roh idafi.
Oleh yang demikian fahaman Wahdatul Wujud ditentang hebat oleh Nuruddin ar-Raniri. Beliau datang ke Acheh antara lain bertujuan membasmi ajaran yang dianggap sesat itu. Sehinggakan mengeluarkan fatwa yang menghukum pengikut-pengikut ajaran Wahdatul wujud sebagai orang-orang kafir yang zindik yang harus dibasmi hingga ke akar-akarnya. Oleh yang demikian banyak kitab-kitab Hamzah Fansuri dibakar dan dimusnahkan.
Polemik Wahdatul Wujud dan Wahdatul Syuhud di Acheh
Syamsudin al-Sumatrani berasal dari Samudra. Nama penuhnya ialah Al-Arif Billah Asy-Sheikh Syamsuddin Bin Abdullah al-Sumatrani. Syeikh Syamsuddin al-Sumaterani ialah seorang tokoh ulama dan juga seorang pengarang. Tidak dapat diketemui catatan riwayat hidupnya yang jelas. Syeikh Nuruddin al-Raniri ada membuat catatan dalam karyanya, Bustan al-Salatin, tentang Syamsuddin al-Sumaterani. Syeikh Hamzah Fansuri merupakan guru ulama beliau. Hampir semua penulis sejarah Islam mencatat bahawa Syeikh Hamzah Fansuri dan Sheikh Syamsuddin al-Sumaterani itu adalah termasuk tokoh besar sufi yang sefahaman dengan Ibu Arabi dan Mansur al-Hallaj. Tetapi, Syeikh Syamsuddin al-Sumaterani lebih termasyhur daripada gurunya kerana beliau mendapat kedudukan yang baik di dalam kerajaan Acheh. Difahamkan bahawa Syeikh Syamsuddin meninggal dunia pada hari Ahad 12 Rejab 1039H iaitu bersamaan 24hb Februari 1630. Bustan al-Salatin menulis seperti berikut:- (sila lihat lampiran * )
Hikayat Acheh juga menceritakan bagaimana pada masa Johan Perkasa Alam (Iskandar Muda Mahkota Alam) berumur 13 tahun belajar seni mempertahankan diri daripada seorang pendekar yang terbilang. Apabila tamat perguruan itu diadakan upacara di istana. Hikayat Acheh mencatat sedemikian:- (sila lihat lampiran ** )
Kenyataan yang terdapat di dalam Bustan al-Salatin dan Hikayat Acheh jelas menunjukkan bahawa Syeikh Syamsuddin al-Sumaterani ialah orang kenamaan yang terpenting di Acheh pada masa itu. Kematiannya telah disebut oleh Syeikh Nuruddin al-Raniri manakala peranannya membaca doa dicatat oleh Hikayat Acheh. Memadang ketokohannya sebagai ulama, maka dapat diduga Syeikh Syamsuddin, pada masa Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam masih sangat muda, telah menjadi orang besar yang penting di Acheh. Jawatan yang disandangnya ialah Mufti atau Kadi Malik al-Adil di Acheh.
Kesimpulan yang dapat dibuat ialah Syeikh Syamsuddin al-Sumaterani ialah ulama besar Acheh. Beliau juga seorang pembesar Acheh yang amat dihormati, oleh itu Hamzah Fansuri sebagai gurunya berhubung rapat sebagai penasihat sultan ketika itu. Syeikh Syamsuddin al-Sumaterani hidup pada akhir abad ke-16 hingga awal abad ke-17. Pada masa Sultan Iskandar Mahkota Alam memerintah Acheh pada tahun 1600-1636M, beliau merupakan ulama besarnya. Beliau wafat pada tahun 1630M.
Syeikh Nuruddin al-Raniri atau nama penuh beliau, Syeikh Nuruddin Muhammad bin Ali bin Hassanji, merupakan seorang ulama, pujangga, ahli sufi, ahli undang-undang dan negarawan di zaman pemerintahan Sultan Iskandar Tsani (Sultan Muhjayat Syah, 1636-1641) dan Ratu Safiatuddin Johan Berdaulat (1641-1675) di Acheh. Beliau menguasai ilmu-ilmu sejarah, politik, falsafah atau mantik, tafsir, hadith, fikah dan tasawuf. Beliau dilahirkan di daerah Ranir, Gujerat, sebuah pelabuhan terkenal di pantai India Selatan, India. Pada abad ke-16, Ranir merupakan bandar pelabuhan yang besar yang dikunjungi dan didiami oleh segala bangsa, termasuk Turki, Mesir, Arab, Parsi dan Nusantara. Daerah Ranir juga berdekatan dengan bandar Surat kerana itulah beliau diberi gelaran al-Raniri. Tarikh lahir sebenar beliau tidak diketahui, ada sesetengah pengkaji sastera yang menyatakan bahawa beliau dilahirkan pada tahun 560 Masihi.
Menurut Mustafa Mohd. Isa dalam buku beliau, ‘Sastera Melayu Klasik Bercorak Islam‘, Radin Hoesien Djayaningrat mengatakan Syeikh Muhammad Jailani ibn Muhammad Hamid al-Raniri yang datang ke Acheh pada tahun 1523 Masihi, kira-kira lima puluh tahun terdahulu daripada Syeikh Nuruddin al-Raniri ialah bapa saudara Syeikh Nuruddin. Syeikh Nuruddin al-Raniri menerima pendidikan awal beliau di Ranir dan kemudiannya di Hadramaut untuk mendalami ilmu agama dan kemudian ke Mekah. Beliau berkebolehan menguasai bahasa Melayu sejak berada di Mekah lagi kerana pergaulan yang rapat dengan orang-orang Melayu dari Acheh yang turut belajar di Mekah dan juga dari pedagang-pedagang sewaktu di Gujerat. Terdapat pengkaji yang menyatakan bahawa beliau mendalami kemahiran bertutur bahasa Melayu dari seorang Jawa sewaktu di Mekah dan daripada ajaran Tun Seri Lanang.
Syeikh Nuruddin al-Raniri pertama kali tiba di Acheh pada tahun 1631 sewaktu pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam namun fahaman Wahdatul wujud yang dipelopori Hamzah Fansuri dan muridnya, Syeikh Syamsuddin al-Sumtrani berkembang luas dan mendapat sambutan yang jauh lebih baik berbanding dengan beliau. Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani merupakan mufti Acheh yang berpengaruh. Tambahan lagi Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam tidak melayannya. Oleh kerana kegagalan beliau untuk mempengaruhi rakyat Acheh, beliau telah berhijrah ke Pahang. Menurut T. Iskandar, selama Syeikh Nuruddin al-Raniri berada di Pahang, beliau menghalusi pengetahuan bahasa Melayu dan berkenalan dengan hasil-hasil sastera Melayu yang telah sedia ada pada masa itu seperti Hikayat Iskandar Dzulkurnain, Taj al-Salatin dan Sejarah Melayu. Ketiga-tiga kitab ini kemudian menjadi bahan bagi Syeikh Nuruddin al-Raniri mengarang kitab Bustan al-Salatin. Pengaruh bahasa Melayu beliau sewaktu di Pahang memainkan peranan besar dalam karya beliau pada tahun 1637 yang dilaporkan tidak mempunyai pengaruh bahasa Acheh kerana gaya bahasa Melayu beliau yang baik.
Sewaktu di Pahang juga, Syeikh Nuruddin al-Raniri berkenalan dengan anak raja Pahang yang kemudian menjadi anak menantu Sultan Iskandar Mahkota Alam Acheh dan kemudiannya bergelar Sultan Iskandar Tsani yang memerintah Acheh dari tahun 1636-1641. Syeikh Nuruddin al-Raniri tiba semula di Acheh pada 6 Muharram 1047 Hijrah bersamaan 31 Mei 1637 Masihi menurut petikan dari Bustan al-Salatin;
“Tatkala ia sampai ke Bandar Acheh Darussalam pada Hijrah 1047 tahun, pada 6hb Mahram, hari Ahad.”
Pada masa beliau tiba semula di Acheh pada tahun 1637 Masihi, keadaan politik dan agama di Acheh telah berubah. Syeikh Syamsuddin al-Sumtrani telah meninggal dunia dan Sultan Iskandar Mahkota Alam mangkat pada tahun 1636 Masihi. Sewaktu Sultan Iskandar Tsani menaiki tahkta kesultanan Acheh, beliau melantik Syeikh Nuruddin al-Raniri menjadi Mufti Acheh. Apabila menjadi Mufti, Syeikh Nuruddin al-Raniri menyerang ajaran Wahdatul Wujud Syeikh Syamsuddin al-Sumtrani dan memberikan fatwa bahawa ajaran tersebut sesat dan penganut ajaran itu wajib bertuabat, jika enggan bertuubat mereka halal dibunuh. Sultan Iskandar Tsani bersetuju dengan fatwa Syeikh Nuruddin al-Raniri itu. Akibatnya, sebahagian besar karangan Hamzah Fansuri dan Syeikh Syamsuddin al-Sumtrani dibakar di hadapan masjid Bait al-Rahman di Banda Acheh dan penganut-penganut ajaran Wahdatul wujud yang enggan bertaubat, dibunuh.
Pengaruh Syeikh Nuruddin al-Raniri amat kuat pada masa pemerintahan Sultan Iskandar Tsani tetapi pengaruhnya lemah apabila Sultan Iskandar Tsani mangkat dan diganti oleh permaisurinya, Sultanah Safiatuddin Johan Berdaulat (1641-1675) dan kembalinya seorang tokoh Wahdatul wujud yang dikenali dengan nama Saifur-Rijal dari India. Perdebatan mengenai agama, khasnya fahaman Wadahtul Wujud antara Syeikh Nuruddin al-Raniri dengan Saifur-Rijal, Syeikh Nuruddin al-Raniri tewas. Kemenangan Saifur-Rijal ini membuat penganut Wadahtul al-Wujud yang telah bertaubat kembali semua menganut ajaran tersebut. Akibat pengaruhnya yang semakin teruk apabila beliau kalah dalam perdebatan agama dengan Saifur-Rijal, Syeikh Nuruddin al-Raniri pulang ke Raniri setelah tujuh tahun berada di Acheh pada tahun 1644 dan meninggal dunia pada 21 September 1653 Masihi.
Latar Belakang Syeikh Hamzah Fansuri
Syeikh Hamzah al-Fansuri merupakan seorang ahli fikir dan ulama sufi yang terkenal di dalam kurun ke-17 Masihi. Tarikh lahir beliau secara tepat belum dapat dipastikan. Ada yang menyebut tempat kelahirannya di Barus atau Fansur yang terletak di antara Singkel dengan Gosong Telaga (Acheh Selatan).
Syeikh Hamzah al-Fansuri dipercayai telah belajar berbagai-bagai ilmu yang memakan masa terlalu lama. Beliau belajar di Acheh dan mengembara di pelbagai tempat, diantaranya ialah Banten (Jawa Barat). Beliau pernah mengembara ke seluruh tanah Jawa, semenanjung Tanah Melayu, India, Parsi, dan Arab. Beliau juga sangat mahir dalam ilmu-ilmu fiqh, tasawuf, falsafah, mantiq, ilmu kalam, sejarah , sastera dan lain-lain. Dari segi bahasa pula, beliau berupaya menguasai dengan kemas seluruh sektor ilmu Arabiyah, fasih di dalam ucapan bahasa itu dan berkebolehan berbahasa Urdu, Parsi, Melayu dan Jawa.
Beliau dikatakan sebagai penganut fahaman “Qadariah” dan tulisannya memang banyak dipengaruhi oleh tokoh-tokoh Islam seperti Ibnu Arabi dan Syeikh Abdul Qadir Jailani. Beliau juga banyak dipengaruhi oleh Ibnu Arabi, Mansur Al-Hallaj, Abu Yazid Al-Bustami dan Shahrul Tabir. Kebanyakan karya-karya beliau menonjolkan fahaman yang beliau anuti itu.
Tarikh kewafatan Hamzah Fansuri secara tepat selama ini tidak pernah disebutkan tetapi menurut kajian, ulama sufi ini wafat pada tahun 1016/1607 (Jaringan Ulama, 1994:190). Walau bagaimanapun, tarikh ini masih dipertikaikan oleh sebab beberapa perkara tertentu.
Peranan Hamzah Fansuri
Hamzah Fansuri adalah seorang pujangga Islam yang memainkan peranan yang sangat besar dalam perkembangan kesusasteraan Melayu terutama kesusasteraan Islam. Beliau banyak menghasilkan kitab-kitab tasauf dan karya-karya berbaur keagamaan lain. Beliau mampu menghasilkan karya-karya dengan baik, kreatif, rasional dan merupakan penulis yang pertama menggunakan bahasa Melayu secara sistematik dan rasional iaitu dengan daya inteleknya Hamzah Fansuri berjaya menggunakan bahasa Melayu dalam membicarakan persoalan-persoalan falsafah. Beliau ada mengatakan bahawa beliau mengarang buku dalam bahasa Melayu (tulisan Jawi) untuk keperluan dan pembacaan orang-orang yang tidak tahu bahasa Arab dan Parsi.
Professor Syed Naquib Al-Attas yang telah membuat pengajian yang mendalam mengenai Hamzah Fansuri untuk Phdnya Di Universiti London menganggapnya sebagai pelopor sastera Melayu Moden diatas jasanya memulakan tradisi penulisan dalam bahasa Melayu. Malah syair-syairnya dianggap sebagai syair Melayu yang pertama ditulis. Beliau berperanan sebagai penyair serta ahli suluk yang ketika itu sedang berkembang dalam masyarakat Sumatra Utara dan tanah Jawa. Beliau berperanan besar mengembangkannya dan dikenali juga sebagai penyair yang tajam pena kerana syairnya berisi panduan hidup yang ditujukan kepada manusia terutama Syair Perahu.
Beliau juga merupakan seorang guru agama,ulama yang alim dan berpengetahuan mendalam didalam bidang fiqih, tasauf, mantik, sejarah, filsafah dan sastera. Sebagai ahli tasauf dan mistik, beliau berpengaruh kuat dikalangan murid-muridnya. Salah seorang muridnya yang terkenal yang juga pendokong kuat fahaman Wahdaatul Wujud ialah Syamsuddin al-Sumatrani. Hamzah Fansuri adalah pengasas ajaran atau aliran Wahdatul Wujud di Acheh dan beliau bertanggungjawab mengembangkan fahamana ini dikalangan pengikut-pengikutnya yang ramai terutama sesudah kematiannya. Namun, tidak banyak karyanya yang masih dapat dibaca kini, kitabnya telah dibakar semasa pemerintahan Sultan Alauddin Mughayat Syah Iskandar Tsani (1636-1641)M kerana dikatakan bercanggah dengan akidah Isnainiyah dan dianggap terpesong dan mungkin memesongkan. Diantara karya-karya yang terselamat ialah beberapa buah karya prosa (kitab-kitab agama tasauf) dan puisi syair berunsur agama dan tasawuf.
Faktor-faktor yang mempengaruhi pemikiran beliau
a) pendidikan
o mendalami ilmu fiqah, tasawuf (wujudiyah), mantik, sejarah, sastera dan falsafah
o merantau ke negeri-negeri seperti Aceh,Jawa, Tanah Melayu, Arab,India, Parsi, Baghdad, Mekkah dan Arabia untuk meningkatkan ilmu daripada guru-guru semasa dalam perantauan
o merombak bahasa lama menjadi bahasa baru
o mempunyai gaya penulisan yang sulit ditandingi
o menggunakan kata Arab, tamsil konseptual sufi dan ayat-ayat al-Quran sebagai pembimbing ilham
b) keadaan masyarakat
§ penyimpangan praktek keagamaan dan kerohanian yang dilakukan para pembesar Istana termasuk Sultan
§ rata-rata masyarakat pada ketika itu masih kuat dipengaruhi ajaran-ajaran kolot yang berunsur tidak Islami
c) keadaan politik negara
§ krisis politik berkenaan dengan sengketa tahta dan kuasa
d) lain-lain faktor
o pengalaman ketika merantau mencari ilmu
o keakraban dengan masyarakat serta alam
o cinta pada Tuhan dan jalan hidup yang ditempuhnya
o penekanan terhadap individualiti berkaitan dengan hakikat pengalaman kesufian
o Kota Barus merupakan sebuah pusat agama
o menuliskan doa serta harapannya dalam bentuk pantun
Sumbangan Karya
Aspek-aspek menonjol dari puisi-puisi Hamzah ialah kritikan-kritikan keagamaan, penggunaan takhallus dan ayat-ayat suci al-Quran dalam karya-karyanya dan imej-imej simbolik khas Melayu Nusantara yang digunakan dalam mengungkapkan pengalaman kerohanian.
Hamzah Fansuri merupakan seorang penyair yang tajam penanya. Syair garapannya mengandungi kias dan perlambangan yang menjadi panduan kepada manusia. Syair-syairnya berunsur mistik dan melambangkan perhubungan manusia dengan Tuhan seperti berikut:-
Syair Burung Pingai
Dalam syair ini jiwa manusia dilambangkan dengan burung pingai (sejenis burung yang bulunya kekuning-kuningan) tetapi burung pingai juga telah dilambangkan sebagai Tuhan. Syair ini mengandungi kias ibarat sebegitu rupa seolah-olah dia mengatakan manusia adalah Tuhan sehingga menimbulkan kontroversi. (Sila lihat lampiran 1a.)
Syair Perahu
Dalam syair ini, Hamzah Fansuri melambangkan tubuh manusia sebagai perahu yang melayari lautan. Pelayaran ini pula amat berbahaya sekali penuh dengan dugaan dan cabaran. Oleh itu, perlu menyediakan bekalan yang cukup. Alat-alat dalam perahu diibaratkan sebagai bekalan yang akan membantu manusia dalam pelayaran yang jauh. Tiang perahu dilambangkan sebagai solat. Perahu mesti dalam keadaan baik untuk mengharungi segala kemungkinan. Begitu juga manusia harus memiliki persiapan sempurna untuk selamat mengharungi lautan hidup. Namun, asalkan kuat berpegang kepada kalimah La ilaha illalahu boleh mencapai suatu tahap yang tiada perbezaan antara hamba dan Tuhan. (Sila lihat lampiran 1b.)
Syair Dagang
Syair ini merupakan syair tasauf yang menceritakan kesengsaraan seorang anak dagang yang hidup di perantauan atas dorongan hasratnya untuk mencari Tuhan. Walaupun penggembaraanya sampai ke Mekah dan madinah, akhirnya bertemu Tuhan nya di dalam rumah. (Sila lihat lampiran 1c.)
Di samping itu, Hamzah Fansuri menghasilkan karyanya dalam bentuk prosa, iaitu Syarab al-Asyikin (minuman orang yang mencintai Tuhan) dan “Asrar al Arifin fi bayan ilmu al-suluk wal Tauhid” .
“Asrar al Arifin fi bayan ilmu al-suluk wal Tauhid” :-
Keterangan mengenai perjalanan ilmu suluk dan kesatuan Allah.
Fahaman yang menyamakan Tuhan dengan kuasa dan hukum alam.
Kepercayaan bahawa Tuhan itu berada di mana-mana dalam alam dan cakerawala.
Sebuah karya tasauf yang isinya mengandungi akidah menurut aliran ‘Wahdatul-Wujud’.
Al-Muntahi (Yang mencapai pengenalan tertinggi)
Di antara kitab-kitab karangan Hamzah Fansuri iaitu Asrar al-Arifin, Syarab al-Asyiqin dan al-Muntahi, didapat bahawa al-Muntahi merupakan intisari pemikiran segala pemikiran tasawuf beliau, menurut Syed Muhammad Naguib al-Attas, dalam bukunya, The Mysticism of Hamzah Fansuri. Kuala Lumpur: University of Malaya Press, 1970. Masalah pokok yang ditimbulkan oleh Hamzah di dalam al-Muntahi ialah mengenai “Allah berada di dalam bayangan alam”. Ertinya, hakikat wujud itu adalah satu pada Zat Nya dan banyak pada sifat dan asma’Nya. Diibaratkan seperti biji dan pohon. Walaupun pohon tidak kelihatan dalam biji tetapi pada hakikatnya pohon wujud. Setelah menjadi pohon, biji itu akan hilang; yang terlihat adalah pohon jua. Dari pohoh itu lahirlah pelbagai warna dan rasa padahal ia lahir dari sebiji itu jua. Hamzah juga mentafsirkan bahawa manusia tidak dapat melihat Tuhan kerana terdinding (terhijab) oleh diri manusia itu sendiri. Wujud diri adalah hijab kerana ia merupakan puncak keinginan hawa nafsu. Untuk menembusi hijab ini, Hamzah mencadangkan supaya manusia berusaha dan melatih diri dengan cara hidup bersuluk bagi tujuan menghapuskan diri sehingga tercapai tahap fana. Apabila fana, maka tersingkaplah hijab dan seterusnya sampai kepada makrifat Allah. Pada ketika itulah terkeluar dari mulutnya pernyataan yang pada lahirnya menunjukkan dirinya Tuhan. Seperti kata Mansur Al-Hallaj, seorang tokoh sufi, “Ana al-haqq” (Akulah kebenaran, yakni Tuhan). Lafaz yang serupa dituturkan oleh Yazid al-Bustami, “Subhani ma a’zamu sya’ni” (Maha suci Aku dan Aku lah yang Teragung, yakni Tuhan).
b) Jelaskan tema-tema utama yang terdapat dalam puisi-puisi Hamzah Fansuri.Sejauh manakah tema-tema tersebut diperlukan dalam masyarakat Melayu pada waktu ini?
Penumpuan pembicaraan para ulama Acheh zaman itu berkisar tentang persoalan mistik, tasawuf atau sufi memungkinkan kesimpulan bahawa pada masa itu ajaran Imam al-Ghazali sangat dikenali dan digemari di Acheh. Pada waktu itu, dunia Islam di seluruh bahagian alam ini sangat mengagumi sikap al-Ghazali yang mencuba mendamaikan atau mempersatukan sekalian golongan Islam yang telah berpecah belah menurut ajaran pemuka masing-masing.Kitab al-Ghazali, Ihya Ulum al-Din, merupakan ubat menghilangkan penyakit tersebut dengan mendokong cita-cita perpaduan Islam yang kental. Beliau juga merupakan ahli ilmu tasawuf atau mistik, satu cabang ilmu yang sangat digemari di dunia Islam, termasuk Acheh dan daerah dunia Melayu yang lain.
Pada zaman kegemilangan Acheh, Hamzah Fansuri merupakan seorang penyair yang tajam penanya. Syair garapannya mengandungi kias dan perlambangan, menjadi panduan kepada manusia. Jika diteliti tulisan-tulisan beliau, jelaslah bahawa Islam membawa revolusi rohaniah dan akliah iaitu membebaskan umat rantau ini dari belenggu tahayul dan khurafat kepada pemikiran rasional.
Tema-tema utama
o mengenali diri
o mengenali Tuhan
o hubungan antara insan dan Tuhan
o hubungan antara wujud alam dan Tuhan
Mengenali diri
Di dalam syair-syair Hamzah Fansuri, beliau sering menggunakan kata “anak dagang” yang merujuk kepada konsep sufi tentang kedudukan manusia di dunia yang pada hakikatnya merupakan orang asing (gharib) yang sedang mearantau untuk mengumpulkan bekal (amal soleh dan amal ibadah) yang akan dibawa pulang ke kampung halamannya iaitu di akhirat. Di hadapan Tuhannya dia seorang fakir (tidak memiliki apa-apapun) dan dalam hidupnya memerlukan Dia. (Sila lihat lampiran 1d.)
Seiring dengan penekanan beliau terhadap individualiti, maka tema pencarian diri atau mengenali diri mendapat perhatian utama. Tema ini dapat dirujuk dalam sebuah hadis qudsi, “ Barang siapa mengenal dirinya akan mengenal Tuhannya.” (Sila lihat lampiran 1e.)
Mengenal Tuhan
Di dalam kitab “Asrar al Arifin fi bayan ilmu al-suluk wal Tauhid”, beliau berkata, “Ketahuilah hai segala kaum anak Adam yang Islam, bahawa Allah Subhanahu Wataa’la menjadikan kita daripada tiada diadakannya dan daripada tiada bernama, diberinya nama dan tiada berupa diberinya rupa, lengkap dengan telinga, dengan hati, dengan nyawa dengan budi. Kita cari Tuhan kita itu supaya kenal dengan makrifat kita atau dengan khidmat kita kepada guru yang sempurna. Mengenal Dia supaya jangan taksir (alpa/lalai) kita”.
Mengenal Tuhan atau ilmu ma’rifat juga merupakan tema utama dalam karya-karya beliau. Tema mengenal Tuhan ini bertautan dengan tema mengenal diri. Tema ini dapat dirujuk dalam sebuah hadis qudsi, “ Barang siapa mengenal dirinya akan mengenal Tuhannya.” (sila lihat lampiran 2a)
Pernyataan-pernyataan dalam karya-karya ini banyak menghuraikan fahaman wahdatul wujud dan ilmu makrifat Allah agak sukar difahami dan apa yang dinyatakan merupakan sesuatu yang terlalu abstrak. Oleh yang demikian, Hamzah sebagai seorang guru sufi, lebih menekankan tema pencarian diri atau mengenali diri supaya pengikut-pengikutnya mudah mendapati ilmu ma’rifat atau ilmu mengenal Tuhan. Menutur kajian Syed Muhammad Naguib al-Attas, Hamzah Fansuri telah pergi ke Baghdad untuk bertemu dengan Sheikh Abdul Kadir Jalani yang dianggap wali terbesar di pusat Tarikat Qadiriyah untuk mendalami ilmu mengenal Tuhan. Belaiu telah melakukan perjanjian atau baiah dan dianugerahkan ijazah tarikat tersebut. Perkara ini disebutkan dalam bait : (sila lihat lampiran 2b)
Hubungan insan dan Tuhan
Hubungan antara insan dan Tuhan boleh kita lihat dalam gubahan puisinya yang berbicara berkenaan dengan soal-soal pegangan, amalan-amalan kerohanian, akhlak atau nilai-nilai moral dan spiritual, serta lambang-lambang yang digunakan olehnya yang mengungkapkan hubungan itu, sebagaimana yang akan dilihat dalam petikan puisi-puisi beliau.
Pegangan Syari’at dan Ketaatan kepadaNya
Dalam hubungan dengan taat kepada Syariat dan tidak mengabaikannya kita lihat bagaimana penyair Hamzah Fansuri mementingkan Syari’at, Tarikat, Haqiqat dan Ma’rifat. Katanya: (sila lihat lampiran 2c)
Dalam bait yang lain beliau menyebut tiga rukun itu, katanya: (sila lihat lampiran 2d)
Hamzah bahkan menyebut empat rukun itu semua sekali, katanya: (sila lihat lampiran 3a)
Bahkan, sesuai dengan akidah Ahlis-Sunnah, beliau menyatakan pertentangannya terhadap ittihad dan hulul (iaitu bersatu dengan Tuhan dan bermasuk-masukkan Tuhan ke dalam makhluk). (sila lihat lampiran 3b)
Tentang kemestian beramal dengan Syari’at bagi mereka yang beramal dengan ma’rifat, kata beliau: (sila lihat lampiran 3c)
Dalam pernyataan terdapat sebutan tentang aliran Ahlis-Sunnah, tentulah Hamzah tahu ajaran yang sebenarnya, yang diijma’kan umat ialah Ahlis-Sunnah Wal-jamaah, bukannya ajaran-ajaran yang selain daripadanya. Bait-bait ini bersesuaian dengan sebuah hadis yang menerangkan bahawa terdapat 71 pecahan dalam akidah Islam tetapi hanya satu sahaja yang benar iaitu Ahlis-Sunnah Wal-jamaah. Bait-bait itu ialah: (sila lihat lampiran 4a)
Hubungan antara wujud alam dan Tuhan
Syair Burung Pingai
Dalam syair ini jiwa manusia dilambangkan dengan burung pingai (sejenis burung yang bulunya kekuning-kuningan) tetapi burung pingai juga telah dilambangkan sebagai Tuhan. Syair ini mengandungi kias ibarat sebegitu rupa seolah-olah dia mengatakan manusia adalah Tuhan sehingga menimbulkan kontroversi. (sila lihat lampiran 4b)
Syair Perahu
Dalam syair ini, Hamzah Fansuri melambangkan tubuh manusia sebagai perahu yang melayari lautan. Pelayaran ini pula amat berbahaya sekali penuh dengan dugaan dan cabaran. Oleh itu, perlu menyediakan bekalan yang cukup. Alat-alat dalam perahu diibaratkan sebagai bekalan yang akan membantu manusia dalam pelayaran yang jauh. Tiang perahu dilambangkan sebagai solat. Perahu mesti dalam keadaan baik untuk mengharungi segala kemungkinan. Begitu juga manusia harus memiliki persiapan sempurna untuk selamat mengharungi lautan hidup. Namun, asalkan kuat berpegang kepada kalimah La ilaha illalahu boleh mencapai suatu tahap yang tiada perbezaan antara hamba dan Tuhan. (sila lihat lampiran 4c)
Dalam hubungan antara wujud alam dan Tuhan, Hamzah juga telah melambangkannya di dalam sebuah puisi beliau seperti berikut: (sila lihat lampiran 4d)
Dalam bait seterusnya, Hazmah telah menggunakan lambang laut untuk memaksudkan Hakikat Ketuhanan Yang Mutlak. Dalam mensyarahkannya Hamzah sendiri memberi penerangan bahawa Tuhan seperti Laut Dalam iaitu memberi maksud zat Tuhan itu dimisalkan seperti laut yang dalam tanpa dasarnya kerana hakikat Zat itu tidak boleh difahamkan oleh manusia.Tentang ombakNya penuh pada semua taqir memberi maksud bahawa ombaknya itu melimpahi setiap pihak; apa yang kita lihat, sama ada yang lahir atau yang batin, semua akan hilang, semuanya seolah-olah ombak. Laut itu tidak terpisah daripada ombaknya dan ombaknya pula tidak terpisah daripada lautnya. (sila lihat lampiran 5a)
Hamzah juga telah memisalkan para makhluk dengan batu dan wujud Allah dan zatNya sebagai manikam yang mencerahkan batu itu; maka sebagaimana batu itu tidak sunyi daripada kegemerlapan manikamnya, maka demikian pula wujud makhluk tidak terpisah daripada wujud Tuhan. Dalam penulisannya, Hamzah telah memberi maksud makna literal daripada kenyataan yang dilafazkan.Antara lambang-lambang yang digunakan oleh Hamzah dalam puisinya ialah seperti berikut: (sila lihat lampiran 6a)
Di sini, Hamzah telah memisalkan para makhluk sebagai ombak dan Tuhan sebagai air; ombak asalnya daripada air, kekal dengan air dan kembali kepada air, yang melambangkan hubungan yang tidak boleh putus antara para makhluk dan Wujud serta Zat Tuhan.
Sejauh manakah tema-tema tersebut diperlukan dalam masyarakat Melayu pada waktu ini?
Keperluan tema-tema yang diketengahkan oleh Hamzah dalam masyarakat kini dapat kita lihat dari peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam masyarakat. Sebagai contoh, masalah keruntuhan akhlak yang berlaku pada remaja-remaja kita pada zaman ini. Gejala sosial seperti pembuangan anak, penagihan dadah, pergaulan bebas dan berbagai lagi boleh kita kaitkan dengan tema mengenal diri. Kian banyak masalah yang berlaku disebabkan hilangnya jati diri seseorang dan kerana mudah terpengaruh dengan aktiviti-aktiviti serta budaya yang kurang sihat. Hamzah menggunakan tema mengenal diri untuk menerangkan hakikat kedudukan manusia serta peranan sebagai seorang insan. Dengan cara mengenal diri, kita dapat meneguhkan pendirian dan lebih memahami peranan kita sebagai insan di muka bumi.
Begitu juga dengan tema mengenali tuhan. kita akan dapat melihat dalam gubahan puisi Hamzah yang berbicara berkenaan dengan soal-soal pegangan, amalan-amalan kerohanian, akhlak atau nilai-nilai moral dan spiritual Semakin ramai masyarakat Melayu Islam yang kian lalai disebabkan arus kemodenan lantas lupa pada tuhan yang menyebabkan Islam itu hanya tinggal pada nama tanpa mengamalkan peradaban serta nilai-nilai Islam. Disebabkan ini kita dapat melihat perkara-perkara yang berlaku seperti pasangan-pasangan Islam yang berkahwin secara sivil dan kadar penceraian yang tinggi dikalangan masyarakat kita.
Tema hubungan insan dan tuhan dan wujud alam dan tuhan juga masih lagi relevan sehingga kini. Ini dapat kita lihat apabila manusia ingin megenali dan ingin rapat dengan tuhan. Disebabkan ini, maka hingga kini kita masih melihat kian ramai yang bergiat dalam kumpulan-kumpulan tarikat. Maka terdapatlah berbagai-bagai fahaman serta ajaran sehingga ada yang berpandangan ekstrimis dan ada juga yang mula lari dari landasan aqidahnya. Contohnya, golongan ekstimis seperti Jemaah Islamiah yang mempunyai pandangan serta fahaman yang berbeza mengenai istilah jihad. Semuanya mempunyai amalan-amalan serta fahaman yang berbeza tetapi dengan satu matlamat iaitu ingin mendekatkan diri kepada tuhan. Selain itu, tema-tema ini dapat mengajar kita akan berlakunya sesuatu dimuka bumi seperti berlakunya bencana alam dan kewujudan sesuatu kehidupan.
Dari contoh-contoh yang berlaku di dalam masyarakat kita pada hari ini, jelas bahawa tema-tema yang diketengahkan oleh Hamzah Fansuri masih lagi penting dalam masyarakat kita kerana ianya berkait rapat dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada masa kini.
Kesimpulan
Hamzah Fansuri merupakan pelopor sastera Melayu moden dan telah memainkan peranan yang besar dalam perkembangan kesusasteraan Melayu terutama kesusasteraan Islam. Beliau merupakan seorang ulama dan ahli agama yang arif dan telah mendalami pengetahuan fiqah, tasauf, mantik, sejarah, sastera dan falsafah. Salah seorang pujangga Islam yang amat terkenal dalam penulisan kitab-kitab tasauf dan juga dikenali untuk syair-syairnya. Pengasas fahaman Wahdatul-Wujud sehinggakan karya-karyanya menimbulkan polemik di kalangan penulis dan ulama yang menyebabkan hasil karyanya akhirnya dimusnahkan.
Take Free Global Personality Test Stability (80%) high which suggests you are very relaxed, calm, secure, and optimistic..
Orderliness (65%) medium which suggests you are moderately organized, hard working, and reliable while still remaining flexible, efficient, and fun.
Extraversion (73%) high which suggests you are at times overly talkative, outgoing, sociable and interacting at the expense too often of developing your own individual interests and internally based identity.
personality tests by similarminds.com
:: About dEwA
known as: dEwA al-Haqq
age: 28
birthday: 01/10/76
country: Singapore/Singapura
school: School of Rawk
contact: just click me
::
:: dEwa at the moment
book: Malay Lit.
song: Anything nice
movie: Ocean 12
TV show(s): PHUA CHU KANG
mood: Cute n' SeXy
:: dEwA loves
riding my beloved bike
movies/tengok wayang
relax one corner
malling and shopping
:: dEwA wishlist
- Subaru WRX
- hayabusa
- Dainese Boots
- 2 pc riding suit
- my other half
:: dEwA linx
Islam |
Malay (Indo) Lit. |
Singapore Bike Forum |
Downloadz |
ELT_links |
Superb greeting card |
Need more Friends? |
Listen! |
:: dEwA's FWENz linx
WITHADOT |
:: tq loadz/terima kasih pendeta to
al-Capone produkzionz
blogskins(skinz)
IMAGESHACK(go n shag it)
:: dEwA archives
January 2005 |
February 2005 |
April 2005 |
July 2005 |
ILLUSI- PUISI CINTA
EXIST- MENGINTAI DARI TIRAI KAMAR
SPIDER kang- RELA KU PIJAK (adehh..)
EXIST- KERANA PERCAYAKAN CT WAN KEMBANG
Nota: TEKAN JER...pehtu 'Save Target As..'
1001..1002..1003..
<
hey sexy.. stop looking at me
Life is SHORT!... y not!